APAKAH perkara pertama yang difikirkan jika anda mendengar perkataan maryjane? Hukuman gantung sampai mati atau ketagihan, mungkin perkara utama terlintas di fikiran masyarakat mengenai maryjane.
Maryjane juga dikenali sebagai ganja atau kanabis. Dorongan kepada pemikiran masyarakat ini mempunyai sebab yang jelas.
Penyalahgunaan maryane menjadi punca kepada ketagihan, pelbagai aktiviti jenayah, kemusnahan nilai hidup dan menjadi ancaman dan kerugian besar kepada negara. Malaysia antara negara yang mengharamkan penggunaan atau pemilikannya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hasil kajian saintifik turut membuktikan kemusnahan terhadap manusia berlaku akibat penyalahgunaan maryjane. Selain penyakit ketagihan dan kemusnahan institusi keluarga, penyalahgunaan maryjane menyebabkan kelahiran bayi pramatang, pencapaian neuro kognitif yang lemah, penurunan IQ, masalah kesihatan mental, penyakit kanser dan pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan.
Perdebatan mengenai undang-undang marijuana sentiasa berlaku di negara yang membenarkan penggunaannya, terutama untuk rekreasi dan perubatan. Antara negara yang membenarkan perubatan maryjane adalah Kanada, Australia, beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS), beberapa negara Eropah, Korea Utara dan beberapa negara Amerika Selatan.
Colorado adalah antara negeri yang melaksanakan perubatan maryjane di AS. Sehingga kini, antara keadaan dibenarkan untuk penggunaan perubatan marijuana adalah kanser, sakit kronik, masalah sistem saraf kronik, cachexia, sawan, glaucoma, HIV/AIDS, dan sklerosis.
Peluang menjalankan penyelidikan perubatan maryjane di makmal penyelidikan Biokimia, Jabatan Kimia dan Bio kimia, University of Northern Colorado (UNC) bersama sekumpulan penyelidik memberi pengalaman baharu melakukan kajian yang meliputi kaedah pengekstrakan terbaik bagi mendapat bahan aktif yang tepat dan stabil, induksi terhadap sel kanser, induksi terhadap mikroorganisme dan mengenal pasti hubungan antara profil genetik marijuana dan jumlah kandungan kompaun aktif bagi tujuan perubatan dan rekreasi.
Kajian ini dibiayai sepenuhnya oleh UNC dan sampel marijuana diperoleh dari pihak berkuasa AS melalui kawalan ketat. Sehingga kini, hasil kajian mendapati bahan kimia dalam maryjane mampu membunuh sel kanser payudara, sel kanser peparu, sel kanser pankreas dan sel kanser kolon pada satu nilai kepekatan dengan berkesan. Namun, pada had yang melebihi nilai kepekatan membunuh, perkara sebaliknya boleh berlaku. Sel kanser didapati boleh membiak.
Maryjane perlu dikawal
Oleh itu, adalah amat penting untuk penyelidik mendapatkan formula terbaik bagi membunuh sel kanser. Kumpulan penyelidik biokimia perubatan marijuana UNC giat menjalankan pelbagai ujian bagi tujuan itu. Hasil kajian ini mampu mengubah persepsi baharu kepada masyarakat terhadap peranan sebenar marijuana. Namun, masyarakat perlu dididik bahawa, penggunaan perubatan maryjane perlu dikawal oleh badan tertentu kerana kaedah perubatan terhasil dari kajian dos, kaedah ekstrak dan perlu dibuktikan selamat melalui kajian makmal.
Di AS, pengguna perubatan maryjane meningkat dari 2,000 dan sehingga 1 Mac 2016, pengguna perubatan maryjane mencecah purata lapan peratus bagi setiap 1,000 penduduknya. Secara umum, antara penyakit yang dirawat melalui perubatan marijuana di AS adalah AIDS (HIV), kesan penyakit AIDS, penyakit Alzheimer, arthritis, penyakit pernafasan, kanser, penyakit crohn, sawan, glaucoma, Hepatitis C, migraine, sklerosis, kekejangan otot, masalah psikologi dan sindrom Tourette.
Laporan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2014 bagi penyakit tidak berjangkit di Malaysia mendapati empat penyakit utama adalah penyakit kanser, diabetis, penyakit kardiovaskular dan penyakit respirasi kronik. WHO mendapati, 20 peratus kebarangkalian kematian berlaku pada pesakit berumur antara 30 hingga 70 tahun bagi semua penyakit itu. Kematian akibat penyakit kanser adalah 15 peratus daripada keseluruhan penyakit tidak berjangkit.
Akibat penyakit kanser sahaja meningkatkan kos perbelanjaan sara hidup pesakit dan keluarga, kos rawatan, kos rawatan susulan dan kos subsidi yang ditanggung kerajaan.
Bagi mengurangkan beban kerajaan dan rakyat Malaysia, pakar penyelidik Malaysia berusaha dengan giat untuk menghasilkan ubatan tempatan dan kaedah rawatan lebih murah dan berkesan berbanding penggunaan ubatan import. Tidak mustahil, suatu hari nanti Kerajaan Malaysia akan meluluskan
penggunaan perubatan maryjane bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat Malaysia agar dapat berfungsi dengan produktif.
Kaji sisi hijau maryjane
Malaysia seharusnya mula berbincang dan merancang dengan teliti bagi membenarkan penggunaan perubatan maryjane. Bukan setakat penyakit kanser, malah ada pelbagai penyakit yang boleh dirawat melalui kaedah ini. Harapan yang positif, agar pihak Malaysia mempertimbangkan perubatan maryjane dilaksanakan untuk rakyat Malaysia. Sekiranya ini berlaku, ramai pakar perubatan dan pakar penyelidik Malaysia mampu memberikan rawatan perubatan maryjane tanpa bergantung kepada ubatan maryjane yang diimport dari negara lain.
Sebagai permulaan, Malaysia boleh melihat pelaksanaan perubatan maryjane yang dilaksanakan di Australia. Apakah perkara pertama difikirkan jika anda mendengar perkataan maryjane? "Tumbuhan ubatan yang digunakan merawat penyakit kanser, sakit kronik, masalah sistem saraf kronik, cachexia, sawan, glaucoma, HIV/AIDS, sklerosis dan pelbagai penyakit lain di Malaysia".
Jawapan dari sisi hijau ini diharap dapat diberikan oleh rakyat Malaysia suatu hari nanti apabila ditanya mengenai maryjane. Segala-galanya bermula dengan pendidikan, penyelidikan dan sokongan penuh kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bagi merealisasikan 'Sisi Hijau Maryjane'.
Sumber: Berita Harian Online | Prof Madya Dr Shakinaz Desa | Selasa, 22 November 2016 | 6:43am
Nota kaki: Semenjak tahun bertahun pakar dari Malaysia menceriakan kebaikkan Maryjane tetapi disenyapkan dan dibiarkan sepi
Guys, kita akan open order caps terbaru thenang.co. untuk maklumat lanjut boleh terus hubungi kami di: http://thenangcoofficial.wasap.my/
Comentarios